#TahukahAnda: Bagaimanakah Cara Pakai Topeng Muka dengan Betul?
DALAM masing-masing panik dengan wabak Covid-19, banyak mesej tular tentang cara mencegah atau mengelak dijangkiti virus tersebut. Salah satu daripadanya adalah cara memakai topeng muka dengan betul, kononnya bahagian warna perlu di luar jika anda sakit, dan diterbalikkan bahagian putih di luar sekiranya mahu mengelak dijangkiti.
Faktanya, cuma ada satu cara memakai topeng muka jenis bedah (surgical mask) yang betul, iaitu bahagian warna mesti menghadap luar. Cara ini terpakai untuk mereka yang memakai topeng kerana sakit dan tidak mahu menyebarkan kuman, atau mereka yang memakai untuk mengelak diri daripada dijangkiti.
Ini dijelaskan terperinci Bel Nawhen, 33, dalam laman Facebooknya yang ditulis sejak Januari tahun lalu dan dikongsikan semula baru-baru ini. Berikut apa dicoretkan beliau yang bekerja sebagai jururawat di sebuah hospital di Lembah Klang:
* Artikel sudah disunting mengikut tatabahasa PanduLaju supaya mudah dibaca. Artikel asal penulis boleh dibaca pada akhir paragraf.
Saya ada baca post ini dalam satu page yang katanya fungsi bahagian berwarna itu berbeza jika orang sekeliling demam, dan perlu dipakai sebelah dalam, itu SALAH.
Ok, mari saya kenalkan tentang mask aka topeng muka ini, fungsi dan cara pemakaian yang betul.
1. Topeng ini dinamakan surgical mask. Kebiasaannya dipakai petugas kesihatan bagi melindungi diri daripada potensi mendapat jangkitan silang melalui pernafasan, titisan air daripada pesakit ataupun sekeliling.
2. Lapisan luar topeng (warna) bersifat hidrofobik (hydrophobic) iaitu penghindar air (water repellent), bermaksud lapisan luar itu tidak menyerap air. Lapisan dalam (putih) pula bersifat hidrofilik (hydrophilic) yang menyerap air kerana udara yang keluar dari paru-paru manusia bersifat tepu dengan wap air.
3. Maknanya dalam bahasa paling mudah, anda pakai topeng untuk elak perlekatan dan persinggahan sementara (ala lagu Ekamatra) mikroorganisma yang boleh membawa penyakit melalui wap air daripada menjangkiti anda. Fungsi warna biru/hijau di luar itu untuk elakkan mudah dilekati atau dihinggapi mana-mana kuman.
4. Jadi, kalau anda pakai topeng terbalik (putih di luar), macam diberitahu admin itu, wap air di udara akan melekat pada lapisan putih yang mudah menyerap air itu. Apabila mudah sangat melekat wap air, debu atau cairan, maka kuman pun melekat, berseronok dan berpestalah di situ.
5. Apabila kuman sudah melekat, berpesta, dan anda bernafas pakai topeng itu, maka kuman akan pindah dari luar dan disedut setiap hembusan nafas. Kuman pun meluncur laju masuk ke dalam paru-paru dan membiak dengan jaya di sana. Senang cerita, admin ini nak galakkan anda berkongsi penyakitlah sekiranya bersama orang yang dapat penyakit gara-gara tip beramal salah.
6. Fungsi topeng ini mudah, nak elak kuman dari masuk melalui topeng (warna) dan tidak beri peluang kuman sedia ada daripada anda untuk keluar dari topeng (putih).
Anda perlu tahu, topeng ini pula tidak mampu menapis untuk menyaring partikel mikroorganisma yang sangat kecil seperti Tuberkulosis (TIBI) atau influenza. Sebab itulah kita ada sejenis topeng lagi, N95.
8. Cara pakai yang betul.
Topeng MESTI menutup hidung dan mulut sepenuhnya. Bukan pakai bawah hidung, bawah leher, atas kepala ala-ala nak melawa.
– Bahagian strip metalik mesti letak atas untuk tujuan memberi kekemasan yang lebih pada bahagian hidung mengikut tahap kemancungan.
– Topeng seperti ini hanya sekali guna sahaja. Tak perlu basuh, atau pakai sampai sudah tidak nampak rupa topeng lagi.
– Untuk menanggalkan topeng, pastikan bahagian dalam dilipat keluar sebelum buang. Selalunya jika di hospital, topeng yang sudah digunakan akan dibuang dalam tong kuning. Jika di rumah, seeloknya dalam tong yang bertutup atau balut dalam plastik sebelum buang.
– Pastikan cuci tangan sebelum dan selepas pakai atau buang topeng.
Semoga info ini memberi anda manfaat dan pastikan sebarang maklumat yang anda dapat adalah daripada sumber sahih.
Sumber: PanduLaju